Wednesday

Bertasammuh la wahai musliminn~...

Salah satu punca yang menyebabkan umat berterusan dihinggapi wabak perpecahan sehingga berterusan diperkotak-katikkan musuh ialah kerana terhakisnya nilai tasamuh dalam diri. Tasamuh ialah sikap berlapang-dada yang tercerna dalam jiwa seseorang sehingga terzahirnya sikap mudah memaafkan kesalahan orang lain bahkan bersedia menerima perbezaan pendapat dengan hati terbuka.

Sikap tasamuh merupakan cerminan keperibadian mukmin sejati yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam satu ketika. Bahkan nilai tasamuh jugalah yang telah memartabatkan umat Islam hingga dihormati kawan mahupun lawan di seantero dunia.

Malangnya sikap tasamuh semakin terhakis daripada jiwa dan peribadi umat hinggakan yang lebih terbudaya ialah sikap keras atau taksub kepada satu-satu pendirian sehingga langsung tidak memberi ruang kepada pandangan berbeza. Lebih menyedihkan apabila perbezaan pendapat seringkali ditanggapi secara negatif sehingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama Islam.

Fenomena ini kian membarah dalam masyarakat Islam ketika ini terutamanya dalam senario kerangka politik kepartian. Masih ramai yang terjerat dengan pemikiran politik partisan yang sempit dan jumud. Politik partisan yang dimaksudkan ialah politik memihak yang bukan pada prinsip kebenaran dan keadilan tetapi berasaskan sentimen assabiah melulu sehingga terhalangnya pertimbangan rasional dan objektif dalam menilai sesuatu perkara.

Keadilan

Politik partisan yang melulu ini turut meranapkan nilai keadilan kerana sesuatu pendirian yang ingin dilakukan bukanlah sangat berasaskan ‘siapa yang benar’ tetapi lebih terjurus kepada soal ‘dia orang siapa’. Akhirnya wujud kecenderungan melampau untuk mempertahankan kelompok sendiri tidak kira betul atau salah.

Gejala seperti inilah yang menghancurkan nilai-nilai tasamuh atau berlapang-dada sehingga tidak boleh lagi menerima pandangan berbeza lantaran terlalu terikat dan taksub dengan sentimen kelompok. Apa sahaja pandangan yang datang daripada kelompok sendiri dianggap benar semuanya manakala yang lahir daripada kelompok lain disanggah dan diperlekehkan.

Sebenarnya fenomena perselisihan umat yang berlaku ketika ini pernah diperdebatkan oleh para sahabat Nabi s.a.w.. Pernah satu hari, Saidina Umar r.a. bertanya kepada Ibnu Abbas r.a.: “Mengapa berselisih umat ini, sedangkan nabinya satu dan kiblatnya pun satu?" Seorang lagi sahabat bernama Said bin Mansur turut menambah: “Dan Kitabnya pun satu”.

Maka berkata Ibnu Abbas: “Ya Amirul Mukminin! Sesungguhnya telah diturunkan kepada kita al-Quran, maka kita membacanya dan mengetahuinya untuk apa ia diturunkan. Walaubagaimanapun kaum selepas kita membaca al-Quran tetapi tidak mengetahui untuk apa ia diturunkan, maka tiap-tiap kaum mempunyai pendapat sendiri; dan apabila terjadi demikian berselisihlah mereka”.

Imam As-Syatibi dalam buku karangan Abu Ubaid bertajuk Fadhail Al-Quran mengulas kenyataan Ibn Abbas tersebut. Katanya: “Apa yang dikatakan Ibn Abbas itu adalah benar, kerana apabila seseorang mengetahui untuk apa diturunkan sesuatu ayat atau surah itu, maka tentunya ia mengetahui kedudukan, takwil dan maksudnya, maka ia tidak pula melampaui batas padanya.

Tetapi bila ia jahil untuk apa sesuatu ayat atau surah itu diturunkan, maka lahirlah beberapa pendapat. Tiap-tiap orang mempunyai pendapat yang berbeza, sedangkan mereka tidak mempunyai kematangan ilmu yang dapat memimpin mereka kepada kebenaran. Akhirnya mereka sesat dan berkecenderungan menyesatkan orang lain.”

Memang tepat sekali ulasan dan analisis Imam Syatibi di atas. Kalau kita perhatikan senario umat Islam di Malaysia khususnya, terjadinya perpecahan banyak terkait kepada soal perselisihan mengenai isu-isu agama yang difahami dalam kerangka yang dangkal. Lebih malang lagi apabila isu-isu agama ditanggapi daripada kacamata parti dan bukannya berasaskan seluhan ilmu yang sahih.

Hakikat yang nyata, Islam tidak pernah menghalang perbezaan pandangan. Islam juga tidak sesekali menyekat kepelbagaian aliran pemikiran. Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan Allah untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara. Namun apa yang lebih mustahak, setiap perbahasan haruslah berpandukan ilmu dan fakta sahih, di samping menjaga adab dan tatasusila yang dianjurkan oleh syarak.

Perdebatan

Umum mengetahui bahawa perbahasan dan perdebatan adalah amalan tabii dalam mencari kebenaran yang pastinya wujud dalam realiti kerencaman pendapat dan kepelbagaian aliran pemikiran manusiawi. Ia juga adalah manifestasi kesuburan akal insan yang memerlukan proses lengkap-melengkapi antara satu sama lain bagi menatijahkan kehidupan yang lebih sempurna.

Apa yang pasti, perdebatan dan perbahasan dalam Islam mempunyai makna dan pengertian yang cukup besar dan kudus. Matlamat perdebatan dalam Islam bukan sekadar pentas meraih sokongan membuta tuli. Perbahasan juga tidak harus dijadikan amalan mencetus sentimen amarah atau benci. Lebih malang lagi sekiranya perbahasan hanya sekadar forum adu-domba dan kata-mengata tanpa sebarang resolusi.

Sebaliknya perbahasan dan perdebatan dalam Islam hanya bermatlamatkan mencari kebenaran dan keadilan. Sebab itulah Islam menggariskan dengan jelas prinsip, nilai dan adab-adab yang harus dipertahankan dalam perdebatan sebagaimana terumus dalam Surah an-Nahl ayat 125: Berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.

Justeru, umat harus belajar bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima pandangan berbeza. Janganlah kerana perbezaan fahaman politik kita sanggup menggadaikan prinsip keadilan yang menjadi tunjang agama. Janganlah disebabkan berbeza parti kita menafikan kebenaran hanya kerana yang menzahirkannya bukan daripada kelompok sendiri. Mudah-mudahan umat akan lebih matang hingga bersedia menerima kepelbagaian pendapat dengan hati yang terbuka.

0 comments: