Saturday

ISMA : Memorandum isu "ALLAH"


ISMA bersama-sama NGO Islam yang lain menyertai serahan memorandum

Photobucket
Dr Zainur Rashid (kanan) bersama Menteri Besar.

6 Januari – Sebagai tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald – The Catholic Weekly, Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan telah mengemukakan satu memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hassan hari ini. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Negeri Sembilan selaku ahli gabungan turut menyertai upacara penyerahan memorandum ini.

Majlis penyerahan yang telah berlangsung di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Wisma Negeri, Seremban ini diketuai oleh Ustaz Shamsul Azhar, Yang Di-Pertua ABIM NS dan Prof Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin, Naib Yang Di-Pertua ISMA Seremban. Turut sama hadir ialah beberapa orang pimpinan NGO-NGO lain serta wartawan-wartawan daripada media perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, STAR dan RTM.

Hasil daripada pertemuan ini, Menteri Besar mengalu-alukan tindakan seumpama ini yang dibuat secara professional dan memberi jaminan akan melakukan tindakan selanjutnya mengikut prosedur kaedah perundangan. Penyerahan memorandum ini telah diikuti oleh satu persidangan akhbar oleh wakil Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan.

Berikut merupakan salinan memorandum yang telah dikemukakan oleh Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan kepada Menteri Besar:

MEMORANDUM

Kami dari Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan amat kecewa dan kesal dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald, menggunakan nama Allah di dalam terbitan mereka. Kami berpendapatan keputusan Mahkamah Tinggi ini dibuat dengan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam di Negara ini.

Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi juga tidak mengambil kira kesan yang berlaku akibat daripada kebenaran tersebut termasuklah boleh menjejaskan ketenteraman awam. Selain Perkara 3 (1) yang membenarkan amalan agama lain dengan aman dan harmoni, Perkara 11 (4) dan (5) mesti juga diambil kira adakah amalan yang dilakukan itu boleh menjejaskan ketenteraman awam dan melibatkan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Sehubungan dengan itu, Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan sebulat suara memohon perkara-perkara berikut diambil tindakan segera:

1. Mendesak Mahkamah Rayuan bersidang secepat mungkin bagi memutuskan rayuan KDN yang telah dibuat semalam (4 Januari 2010).

2. Menjunjung Ke Bawah Duli Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengangkat isu ini ke dalam Persidangan Majlis Raja-Raja dan memberi penegasan kepada semua pihak bahawa Hal Ehwal Agama Islam ini adalah di bawah kuasa dan perlindungan Raja dan Sultan.

3. Mendesak agama-agama lain menghormati agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menjaga sensitiviti serta kesucian agama Islam itu sendiri.

4. Mendesak pihak berkuasa agama dan juga polis menguatkuasakan larangan penyebaran agama lain kepada orang Islam sepertimana yang termaktub dalam Perkara 11 (4).

5. Kami juga mendesak agar mana-mana pihak, kumpulan dan individu yang tidak berkenaan tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan dan ulasan yang boleh menambah kekeliruan di kalangan umat Islam sendiri.

Kami Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan berharap agar tuntutan dan harapan kami ini akan dapat diketengahkan demi untuk menjaga dan memperkasa agama serta aqidah umat Islam di Negeri Sembilan khususnya dan di Malaysia amnya.

Sekian.

Memorandum ini adalah persetujuan bersama:

Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan

- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) NS
- Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) NS
- Majlis Belia Negeri (MBN) NS
- Jemaah Islah Malaysia (JIM) NS
- Yayasan Kasih Sayang (YKS) NS
- Madrasah India Muslim (MIM)
- Muslim Revert Association (MRA)
- Teras Pengupayaan Ummah (TERAS) NS
- Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) 
 
 
dipetik dari : ISMA web


al-kandahlawi
Baitulhikmah

0 comments: