Friday

Islam muliakan Jumaat serlah jati diri Muslim


NABI SAW bersabda bermaksud: “Apabila tiba Jumaat, ada pada setiap pintu masjid malaikat yang ditugaskan menulis orang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di mimbar, malaikat itu melipat lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)


Allah melantik malaikat khusus bagi mencatat kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunan mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.

Kehadiran lebih awal mengerjakan solat Jumaat sangat diutamakan dalam Islam. Oleh itu amat rugi orang yang terlewat (terlepas) daripada waktu catatan malaikat itu.

Abdullah Umar dan Abu Hurairah menceritakan mereka mendengar daripada Rasulullah SAW ketika Baginda berkhutbah di mimbar, sabdanya yang bermaksud: “Hendaklah orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (Hadis riwayat Muslim)


Meninggalkan solat Jumaat adalah perbuatan yang ditegah kerana hukumnya fardu ain terhadap individu Muslim. Orang yang meringankan hukum Allah mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan setimpal.

Orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa lain. Sesungguhnya orang yang dibenar meninggalkan solat Jumaat hanya mereka yang mencapai darjah keuzuran syarie seperti orang sakit dan musafir.

Jika seseorang tiada alasan munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, mereka perlu mengerjakannya kerana solat Jumaat selain kewajipan beribadat kepada Allah, juga syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

Islam menyerlahkan perbezaan ketara dengan agama lain supaya umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah kiblat, kitab suci, hari raya dan hari kebesaran. Islam menetapkan Jumaat adalah penghulu segala hari.

Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan Sabtu dan Kristian yang membesarkan Ahad. Perbezaan ditetapkan Islam ini perlu diamal dan dihayati secara praktikal oleh umatnya kerana ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap Muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya cuba dibawa masuk musuh Islam.

Kegagalan umat mempromosikan Islam kepada masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan mereka dipandang hina dan Islam dipandang sepi.

Dengan itu umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak terikut dengan adat dan budaya bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya akidah dan terpadamnya garisan ditetapkan syarak.

**dipetik dr ruangan agama Bh

Salam Jumaat buat semua!!


p/s: sebagai renungan

0 comments: