Thursday

Pelaburan: Apa yang anda perlu ketahui?

Pelaburan dan Muamalah dari perspektif ISLAM
dI adapt dr Tulisan Ustz Zaharuddin di :
& rujukan lanjut di :
www.zaharuddin.net

Di sini saya sertakan beberapa sentuhan berkenaan konsep pelaburan dan isu yang berkaitan dengannya yang perlu kita ketahui sebagai pelabur yang mematuhi perintah Allah.
Penyertaan Dalam Pembelian Saham

Hukum membeli saham pada asalnya adalah sama dengan hukum bersyarikat atau musharakah atau rakan kongsi. Ia adalah harus menurut Shariah dari al-Quran dan Hadith. ( Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/3 )

Dalil dari Al-Quran :
Mafhumnya : "dan mereka berkongsi dalam 1/3 " ( An-Nisa : 12 )

Antara hadith :
Mafhumnya : Nabi menyatakan :" Aku orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya" ( Riwayat Abu Daud )

Syarat Umum

Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktivti urusniaga saham ini adalah :-

a. Penubuhan dan penyertaan sebuah syarikat yang patuh Shariah di dalam bursa adalah harus.
b. Tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau membeli saham syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti memberi pinjaman Riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.


Majoriti ulama dunia mengharuskan penjualan dan pembelian saham dan di bursa kerana :-

1- Syarat Ijab Qabul telah terlaksana dalam pembelian dan pemilikan saham.
2- Majlis Pengarah syarikat telah mewakili seluruh pemegang saham dalam pelaksanaan syarikat mereka.

Justeru, antara para ulama besar yang mengharuskannya adalah Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Ali Khafif, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr Muhammad Yusof Musa dan ramai lagi. ( At-Takaful Al-Ijtima'ie, Abu Zahrah, 2/184 ; As-Syarikat : Ali Khafif, hlm 96 ; Al-Mualamat Al-Maliah, Uthman Syabir, hlm 206)

Nabi s.a.w bersabda :-

“ Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) (Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312) “

Kaedah Fiqh menyebut :-

"Sesungguhnya menolak keburukan itu lebih patut didahulukan dari tujuan untuk mendatangkan kebaikan" ( Al-Muwafaqat, As-Syatibi, 3/190 ; Hasyiah S-Syarwani, 3/188)

Islam tidak menerima konsep untung dengan jaminan, dan Islam juga hanya menerima konsep :
الغرم بالغنم
Ertinya : " Ganjaran keuntungan adalah dengan menghadapi risiko" [1]



Dan juga hadith :

أن الخراج بالضمان
Ertinya : "(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (dan jaminan barang yang dijual adalah selamat - bermakna tiada untung tetap dijanjikan)" (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; As-Suyuti & Albani : Hasan)

Menurut Dr Muhammad Az-Zuhayli menjelaskan lagi ertinya dengan katanya "sesungguhnya siapa yang yang menanggung kos dan risiko kerugian, maka merekalah yang layak mendapat manfaat atau keuntungan jika ada". [2]

Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram.


RIBA DALAM AKAUN SIMPANAN DAN PELABURAN.

Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-

Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-

· Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).

· Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

Penjelasannya adalah seperti berikut :-

· Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).

Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam "conventional fixed deposit account". Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.

Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (‘fixed interest' atau ‘fixed return') sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 - 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.

Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari "fixed deposit account" tadi adalah Riba ‘Ad-Duyun' dari jenis ‘Al-Qard'. Ini adalah kerana, sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam (iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan keuntungan di awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).

· Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).

Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun.
Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.

Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).

[1]Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, An-Nadawi, Dar al-Qalam, hlm 343
[2] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Az-Zuhayli, hlm 494
bersambung...

3 comments:

Anonymous said...

Mana sambungan ???

hamdan al-kandahlawi said...

atas2..

hamdan al-kandahlawi said...
This comment has been removed by the author.