Monday

oRanG iKhlAs sErinG teRtIndAs??

sedikit perkongsian untuk kita semua,diperik dari email seorg sahabat... :)


ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.
“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.

“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”


Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”


Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga.

Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”


 
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “CEO”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”

“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?




al-kandahlawi
Baitulhikmah wa Zahrowat
www.pembinaselangor.com

Friday

wajibat 38

dr ust halim..

WAJIBAT 38

1.Hendaklah ada bagi diri kita wirid harian dari Al-Quran, tidak kurang dari 1 juzuk. Berusahalah untuk setiap kali khatam 30 juzuk tidak lebih lama dari sebulan dan tidak lebih pendek dari 3 hari.

2.Kita hendaklah memperbaiki bacaan Al-Quran, mendengar orang lain membacanya dan mengamati pengertian-pengertiannya. Kita mempelajari Sejarah Rasulullah saw, sejarah para Salaf (generasi Islam yang awal) sebanyak masa yang terluang pada kita. Perbanyakkan membaca Hadis Rasulullah saw. Hafallah sekurang-kurangnya 40 hadis (seperti buku Hadis 40 oleh Imam Nawawi). Hendaklah kita mempelajari satu buku dalam Asas Aqidah dan satu buku dalam Fiqh Ibadat.

3.Bersegera melakukan pemeriksaan kesihatan badan yang menyeluruh, memakan ubat ke atas penyakit yang dihidapi, mengambil berat perkara-perkara yang membina kekuatan dan ketahanan badan dan menjauhkan diri dari sebarang sebab-sebab yang memudaratkan kesihatan diri.

4.Jauhilah dari berlebihan minum kopi, teh pekat dan minuman-minuman penyegar yang lain. Jangan mengambilnya kecuali jika terpaksa. Hendaklah menjauhkan diri sama sekali dari merokok.

5.Hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dalam tiap sesuatu seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, badan, tempat kerja dan lain-lain. Sesungguhnya Agama ini dibina diatas asas kebersihan.

6.Hendaklah sentiasa benar dalam perkataan. Jangan sekali-kali anda berbohong.

7.Hendaklah kita menunaikan janji, perkataan dan persetujuan. Jangan memungkirinya walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

8.Hendaklah kita menjadi seorang yang berani, kuat menanggung bebanan. Berani yang paling baik ialah berterus terang menyampaikan kebenaran, menyembunyi rahsia, mengaku kesilapan, berlaku adil terhadap diri dan mengawal diri ketika marah.

9.Hendaklah menjaga hemah diri sehingga boleh dihormati dan sentiasa bekerja dalam kesungguhan, tetapi ini tidak menghalang kita dari bergurau secara benar dan ketawa secara senyuman.

10.Hendaklah kita kuat sifat pemalu, perasaan yang mendalam, kuat terkesan dengan kebaikan dan keburukan, gembira dengan kebaikan, pedih kerana kejahatan. Hendaklah kita tawadhuk tanpa hina.

11.Hendaklah kita bersifat adil, betul dalam mengeluarkan hukum dalam setiap keadaan. Janganlah kemarahan menyebabkan kita lupa kepada kebaikan-kebaikan. Jangan pula keredhaan menutup mata kita dari melihat keburukan-keburukan. Janganlah permusuhan menyebabkan kamu melupakan keindahan. Berkata benarlah walaupun mengena kepada diri sendiri atau orang yang terdekat dengan kita walaupun ianya pahit.

12.Hendaklah kita sangat aktif dan terlatih dalam melaksanakan khidmat-khidmat masyarakat. Kita rasa gembira jika dapat menyumbang sesuatu khidmat kepada orang lain. Kita menziarahi orang sakit, menolong orang yang memerlukan bantuan, menanggung orang yang lemah, membantu orang yang ditimpa bencana walaupun dengan perkataan yang baik dan sentiasa bersegera ke arah kebaikan-kebaikan.

13.Hendaklah kita memiliki hati yang penyayang, pemurah, lapang, memaafkan, bersahabat, kasih, bersopan santun, berlembut terhadap orang ramai dan haiwan, cantik dalam pergaulan, baik tingkahlaku terhadap semua orang, menjaga adab-adab Islam dalam masyarakat seperti menyayangi mereka yang lebih muda, menghormati mereka yang lebih tua, melapangkan tempat dalam majlis, tidak mengintip-intip kesalahan orang, tidak mengumpat, meminta izin untuk masuk atau keluar dan sebagainya.

14.Hendaklah kita baik dalam membaca dan menulis. Banyak meneliti buku, akhbar, majallah, lamanweb Islam dan seumpamanya. Kita mempunyai perpustakaan sendiri walaupun saiznya kecil. Kita benar-benar pakar dalam ilmu dan kemahiran sekiranya kita adalah seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Kita mahir dalam hal ehwal umat Islam sehingga ke tahap kita dapat gambaran yang jelas dan dapat mengeluarkan keputusan yang slari dengan keperluan Dakwah semasa.

15.Hendaklah kita melakukan kerja keusahawanan walaupun kita seorang yang kaya. Kita mengutamakan berniaga sendiri walaupun pada kadar yang sekecil mana dan walau tahap ijazah anda setinggi mana.

16.Jangan kita hanya beriya-iya mencari pekerjaan sebagai kakitangan kerajaan dengan menganggap ianya adalah sesempit pintu rezeki. Tetapi jangan pula kita menolaknya sekiranya diberikan peluang.

17.Hendaklah kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerjaya kita dengan tekun, berkualiti, disiplin dengan masa dan janji serta tidak menipu.

18.Tunaikan hak-hak diri sendiri dengan baik dan hak-hak orang lain dengan sempurna tanpa cacat, berlengah-lengah atau menunggu mereka menagih-nagih hak mereka dari kita.

19.Jauhilah judi dalam segala bentuknya, walau apa pun tujuan disebaliknya. Jauhi segala bentuk pendapatan yang haram walaupun dengannya kita mendapat keuntungan yang cepat.

20.Jauhilah riba dalam semua urusan. Bersihkan diri kita sepenuhnya darinya.

21.Bantulah ke arah meningkatkan ekonomi umat Islam secara umum dengan menggalakkan produk dan institusi ekonomi Islam. Jagalah setiap sen anda agar tidak jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun. Janganlah anda memakai dan makan selain dari produk tanahair Islam anda sendiri.

22.Berilah sumbangan dari sebahagian wang kita kepada Dakwah. Tunaikan zakat harta kita. Peruntukkan sebahagian lagi dari wang kita untuk mereka yang memerlukannya walau sekecil mana sekalipun pendapatan kita.

23.Buatlah tabung simpanan sendiri dari sebahagian pendapatan kita walau sedikit mana sekalipun untuk menghadapi sebarang bentuk kecemasan. Janganlah sekali-kali kita bermewah-mewah dalam perbelanjaan apatah lagi tenggelam dalam kemewahan.

24.Berusaha sedaya upaya menghidupkan adat dan budaya Islam dan melenyapkan budaya asing dalam segenap aspek kehidupan seperti ucap selamat, bahasa pertuturan, sejarah, pakaian, perhiasan rumah, masa bekerja dan rehat, makan minum, cara ketibaan dan bersurai, kesedihan dan keraian dan sebagainya. Hidupkanlah Sunnah dalam setiap perkara di atas.

25.Kita menjauhi setiap bentuk dan perkara yang tidak Islamik seperti kelab, akhbar, organisasi, sekolah, badan dan sebagainya yang bertentangan dengan fikrah Islam sejati.

26.Sentiasa merasakan kehadiran Allah swt, mengingati Akhirat, membuat persiapan menghadapinya, berusaha melalui jalan menujuNya dengan penuh sedar dan azam, berusaha mendekati Allah swt dengan melakukan perkara-perkara sunat nawafil seperti solat malam, puasa sekurang-kurangnya 3 hari stiap bulan, membanyakkan zikir hati dan lidah dan mengamalkan doa yang makthur (datang dari Rasulullah saw) dalam setiap keadaan.

27.Kita baik dalam bersuci dan berada di dalam keadaan berwudhuk sebanyak waktu yang boleh.

28.Kita baik dalam bersolat, membiasakan diri mengerjakannya dalam waktunya, berusaha menunaikannya secara berjemaah di masjid seberapa boleh.

29.Kita berpuasa Ramadan dan menunaikan Haji sekiranya berkemampuan. Kerjakanlah ia sekarang sekiranya sudah mampu.

30.Sentiasa menanam niat Jihad, cinta mati syahid dan membuat persediaan untuknya semampu anda.

31.Perbaharui taubat dan istighfar dari masa ke semasa. Jaga diri dari dosa-dosa kecil, apatah lagi dosa-dosa besar. Peruntukkanlah satu jam sebelum tidur untuk kita menyemak diri tentang perbuatan yang telah lakukan dilakukan sepanjang hari samada baik atau buruk.

32.Hendaklah berjihad kuat melawan nafsu syahwat hingga kita dapat memimpinnya. Tundukkan pandangan, kawal perasaan, hadapi runtunan nafsu dalam diri dan tingkatkan ia dengan menyalurkannya kepada yang halal dan baik dan halang ia dari apa sahaja bentuk yang haram.

33.Jauhi arak, makanan minuman yang memabukkan dan apa sahaja yang seumpamanya.

34.Jauhi dari berkawan dengan orang-orang yang jahat lagi merosakkan serta tempat-tempat maksiat dan dosa.

35.Membenteras tempat-tempat berpoya-poya apatah lagi mengunjunginya. Jauhi dari bentuk bermewah-mewah.

36.Mengenali setiap orang yang berdakwah dan bekerja untuk Islam. Kita juga memperkenalkan diri kita kepada mereka, melaksanakan hak-hak mereka seperti mengasihi, menghormati, membantu dan mengutamakan mereka dari diri kita sendiri dalam setiap pergaulan. Cuba sedaya upaya menghadiri program yang dianjurkan, jangan ponteng kecuali dengan uzur syar’iyy.

37.Menjauhi badan atau perkumpulan yang tidak mendatangkan faedah kepada Islam dan tidak membawa ke arah mencapai matlamat murninya.

38.Berusaha menyebarkan Dakwah ke setiap tempat, tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan nama baik Islam dan pendakwahnya dan sentiasa bersedia melaksanakan tugasan yang diberikan demi mencapai kebaikan dan kemajuan Dakwah Islam


marila sama2 beramal & ingt memperingati..wa...>_<~sgt berat nak amalkan..tp kena la usaha kan?huhu


al-kandahlawi