Saturday

jGN MeNCaBaR!

1 artikel yg sgt menarik untuk dikongsi,saya post semula di sini..sbb sgt menarik utk dikaji dn difikirkan sedalam2nya..


Mingguan Malaysia 15 Ogos 2010

Kolumnis ultra kiasu The Centre for Policy Initiative (CPI), dalam artikel terbarunya minggu lalu, berulang kali menyebut nama saya. Artikel kontroversinya turut mengundang laporan polis oleh Perkasa. Saya hanya ketawa kecil membaca artikel tersebut kerana ternyata kolumnisnya amat jahil dalam memahami sejarah dan kehidupan bernegara, apatah lagi untuk memahami perlembagaan.



Beliau yang tinggal di bumi bertuah ini langsung tidak bersyukur, malah mempersendakan dan menghinakan kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.
 
Saya cadangkan beliau berhijrah ke negara lain, jika negara ini sudah tidak ada lagi kebebasan baginya. Pergilah ke negara asal-usulnya atau ke barat, kerana di sana lebih banyak ‘kebebasan’ untuk membina gereja paling besar dan patung paling tinggi di dunia serta, sekolah vernakular, termasuk juga melakukan perbuatan sumbang seperti seks bebas.
Nak kata beliau bangga dengan keturunannya, tidak juga, sebab beliau lebih gemar menggunakan nama Mat Salleh walaupun matanya begitu sepet. Beliau membuat analogi sampahnya melalui permainan bolasepak semata-mata untuk menghina Islam dan Melayu. Nasihat saya, tidak payah berbelit-belit kerana ia menampakkan kedangkalan ilmu beliau. Beliau begitu anti Melayu dan Islam.

Ternyata beliau amat jahil (mungkin sengaja) dalam memahami perlembagaan dan asal-usul negara ini atas sikap ultra kiasu. Keadilan baginya adalah sama rata dan sama rasa bukan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apakah beliau tidak menyedari bahawa bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali ganda daripada masjid dan surau. Pun begitu beliau masih tidak berpuas hati. Beliau mahukan patung Mazu dan patung-patung lain serta gereja menjadi mercu tanda, terbesar dan tertinggi, barulah iatu dinamakan adil, bertepatan dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia.

Saya cadangkan beliau supaya membawa ideanya itu ke negara barat, mungkin negara asal usulnya di China. Cadangkan apa yang beliau mahu terhadap mereka. Saya amat yakin cadangan beliau akan ‘dibakul sampahkan’ sebab tidak masuk akal, kecuali di Malaysia, kerana toleransi ditunjukkan oleh pribumi tidak ada tolok bandingnya. Pergilah ke Kelantan, orang bukan Melayu boleh dikira dengan jari, tetapi mereka memiliki patung Buddha yang begitu besar sekali. Ini belum termasuk Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Masihkah tidak bersyukur?

Keistimewaan Islam termasuk mengembangkan syiar Islam seperti membina masjid dan surau sudah termaktub dalam perlembagaan. Namun, kebanyakan surau dan masjid kebanyakannya dibina menggunakan peruntukan wang zakat, walaupun tidak salah jika kerajaan mahu menggunakan wang negara. Tetapi untuk mengelakkan kontroversi, pemimpin negara hanya menggunakan harta orang Islam sahaja. Tidak kurang yang membinanya melalui kutipan derma dan sedekah hartawan. Apakah beliau masih buta mata hatinya? Jangan pulak kata kerajaan tidak memberikan peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam.

Seringkali saya timbulkan kenapa perlukan bilangan rumah ibadat yang banyak dan bersaiz tinggi dan besar, sedangkan keperluan penganutnya tidak seberapa ramai? Justeru, tidak perlulah gatal tangan membeli dan buka gereja di rumah kedai. Lepas itu salahkan kerajaan kerana tidak membantu membiayainya. Janganlah jadi kafir harbi.

Ketika Perlembagaan digubal, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini begitu memahami kedudukan Tanah Melayu ketika itu.



Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas beliau dan ultra kiasu yang lain.

Mereka sengaja tidak mahu sedar bahawa dengan kelebihan ini juga, mereka beroleh keuntungan. Aktiviti keagamaan mereka tidak pernah disekat, malahan mereka bebas untuk mengamalkannya tanpa diganggu-gugat. Sedih juga kadangkala melihat umat Islam sembahyang jumaat berjemur sehingga ke jalan raya disebabkan saiz masjid yang tidak dapat menampung keperluan jamaah. Itupun masih dipertikaikan.

Pertikaian mengenai status agama Islam seolah-olah tiada penghujung walaupun ia amat sensitif. Beliau tidak setuju dengan mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah dan budaya berdoa ketika perhimpunan seminggu sekali yang tidak sampai tiga minit pun. Terlalu bersifat Islam dan Melayu katanya. Sekiranya inipun dicabut, apakah yang masih tinggal? Apa guna perlembagaan? Sebagai ganti pelajar bukan Islam boleh mempelajari mata pelajaran bahasa ibunda dan pendidikan moral yang sudah diselitkan serba sedikit ajaran agama lain. Tidak cukupkah lagi? Beri betis nak peha. Satu sahaja yang saya pinta agar beliau dan sekutunya, beramal dengan ajaran agama mereka dengan menjauhi judi, arak, zina, seks bebas dan lain-lain. Barulah aman negara ini.

Cuba siasat silibus mata pelajaran di negeri China dan di India, adakah matapelajaran agama Islam diberikan hak kepada minoriti umat Islam Cina di sana? Sudah tentu tidak. Malah mereka ditindas. Begitu juga di negara barat, berdoa mengikut ajaran Kristian adalah perkara biasa. Umat Islam di sana diam sahaja kerana mereka tahu itu bukan negara asal mereka. Kenapa mahu mempertikaikan bacaan doa dalam sebuah negara Islam?



Adakah dengan amalan doa tersebut, hati orang bukan Islam akan cair lantas memeluk Islam? Benci sungguh beliau terhadap Islam. Doa adalah salah satu amalan budaya orang Melayu Islam. Takkan kita mahu hapus semua identiti pribumi semata-mata mahu meraikan orang lain. Jika begitulah keadaannya, tukar sahaja nama Malaysia kepada Cinasia atau Indiasia. Pelik sungguh species sebegini, tak habis-habis cuba mencabar kedudukan Islam dan pribumi.

Begitu juga dengan Sekolah Missionari yang telah diambilalih oleh kerajaan. Bukanlah menjadi isu besar jika identiti penjajah seperti lambang salib ditukar kepada identiti tempatan. Tidakkah ia perlu diMalaysiakan sifatnya sesuai dengan keadaan masyarakat di sini? Kenapa masih mahu mengekalkan identiti penjajah? Apakah mengekalkan identiti Melayu atau tempatan bermakna memelayukan bukan Melayu? Apakah kita langsung menolak asimilasi walaupun sedikit? Apakah majoriti langsung tidak ada hak dalam masyarakat minoriti?

Beliau tidak perlu menghantar ‘anak’nya (jika ada anak sah taraf) ke sekolah kebangsaan, jika dia tidak yakin dengan sekolah kebangsaan atau pun mungkin dimelayukan. Kehadiran ‘anak’ beliau tidak diperlukan di sini. Hantar sahaja ‘anak’nya itu ke sekolah di negara asal-usulnya atau ke seberang laut. Cubalah buat kajian berapa ramai produk pelajar bukan Melayu yang telah berjaya hasil didikan di sekolah kebangsaan peringkat menengah setelah mereka tamat pembelajaran di sekolah vernakular? Tidak juga mereka memeluk Islam melalui amalan doa pagi ketika perhimpunan.

Persoalan juga ditimbulkan mengenai pertubuhan bukan Islam di sekolah seperti yang telah saya tulis dalam Mingguan Malaysia 1 Ogos 2010. Tidak perlu saya ulang. Bacalah. Persoalan kenapa bukan Islam tidak boleh berdakwah kepada orang Islam, bacalah perlembagaan, jangan jadi jahil.



Beliau juga membangkitkan mereka yang memeluk Islam yang dibantu dari segi kewangan. Tidakkah beliau tahu bahawa bantuan tersebut dibuat melalui asnaf zakat, bukan wang sekutu ultra kiasu beliau yang selalu cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai? Janganlah terlalu berani mencabar.

Sebenarnya semua perkara yang dibangkitkan itu adalah tuntutan pertubuhan haram Inter- Faith Council (IFC) dan Majlis Peguam satu ketika dahulu. Agama Islam dilabelkan sebagai zalim kerana tidak membenarkan mereka yang memeluk Islam untuk murtad kembali.


 
Beliau tidak perlu mengambil kes Susie Teoh, Banggarma dan Azlina Jailani (Lina Joey) untuk dijadikan isu. Kes mereka ini agak rumit disebabkan oleh perancangan jahat tangan di belakang dan orang seperti beliau. Islam tidak benarkan seseorang itu setelah memeluk Islam, keluar sewenang-wenang ibarat kedai kopi. Inilah yang membezakan antara Islam dengan agama beliau. Lagipun kita tidak pernah memaksa bukan Islam memeluk Islam. Tetapi setelah memeluk Islam, mereka tidak boleh boleh keluar sesuka hati. Kehormatan Islam mesti dipelihara baru ada beza dengan beliau. Jika tidak Islam sama sahaja dengan agama lain. Beliau sebut sahaja tiga isu murtad ini, saya sudah dapat tangkap niat jahat di sebalik perkara ini dibangkitkan.

Umat Islam menghalang Azlina Jailani murtad kerana bercanggah dengan perlembagaan persekutuan perkara 160 (2) mengenai definisi Melayu dan Islam. Azlina bukan lagi Melayu setelah keluar Islam sebab Melayu mesti beragama Islam mengikut perlembagaan. Maknanya, Lina sudah tidak ada bangsa. Maka dia sudah tidak layak bermukim di bumi tercinta ini sebab bangsanya telah tiada.

Beliau juga mengambil berat tentang adik saya yang turut memeluk Islam. Terima kasih. Adik saya memeluk Islam kerana beliau banyak mengkaji Islam selain daripada melihat contoh abangnya seperti saya. Oleh kerana adik saya tidak anti Islam, beliau sanggup duduk dalam kelas untuk belajar agama Islam kerana minat yang amat mendalam terhadap Islam. Pada saya elok juga beliau dan sekutunya belajar sedikit tentang agama majoriti ini untuk mengelakkan salah faham, daripada terus menyakitkan hati orang Islam dan menghina Islam.

Cuba kita bandingkan bagaimana keadaan orang Islam yang tinggal di kawasan majoriti bukan Islam. Toleransinya amat tinggi. Umat Islam tidak menimbulkan masalah kepada bukan Islam, kecuali haknya diambil dan mereka ditindas, seperti yang berlaku di Selatan Thai, Filipina dan Palestin. Melayu Islam di Singapurapun tidak bising-bising walaupun tanahair mereka dirampas. Mereka duduk diam-diam sahaja, walaupun hak Islam dan Melayu mereka semakin hari semakin dicabut dan terhakis serta dicairkan oleh orang sekutu beliau.



Lihatlah toleransi kita di sini. Pada saya kerana Melayu memeluk Islam 600 tahun lalulah yang menyebabkan orang bukan Islam boleh hidup senang-lenang di bumi bertuah ini. Nilai-nilai Islam mengajar orang Melayu supaya menjaga hak bukan Islam dan jangan menganiayai mereka. Andainya orang Melayu tidak memeluk Islam, apakah nasib bukan Melayu akan menjadi seperti umat Islam di negeri China atau di India, yang begitu tertindas dan teraniaya? Sebenarnya Islamlah yang melembutkan hati orang Melayu untuk menerima orang bukan Melayu di negara ini. Justeru, janganlah kedudukan Islam itu diungkitkan dan disalahkan kerana ia amat menghiriskan hati kami.



Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

pabila jari mula berbicara..

setelah sekian lama..

pantas jari jemari berasa ringan untuk menulis sesuatu..

melihat kerenah semasa yang tak berkesudahan..

rencam kehidupan yang mendesak

dihimpit dan menghimpit

arus kegelisahan

oh..

apakah ini